Monday, November 14, 2011

Terima kasih, cikgu!

Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum.


"Siapa yang nak masuk syurga?" suara cikgu Zamri lantang bertanya. Penghuni kelas 5 Melor kesemuanya mengangkat tangan. Muka semua berseri. Ada yang berbisik sesama sendiri membuatkan kelas sedikit riuh.

"Siapa yang takut mati?" soalan cikgu Zamri masih belum habis. Cikgu Zamri yang mengajar matapelajaran Sains itu entah macam mana boleh menukar topik setelah murid-muridnya menyiapkan tugasan yang diberi.

Kali ini semuanya senyap. Tiada bayang lambaian tangan di udara yang kelihatan seperti tadi. Terkesima kot. "Siapa yang takut mati?" Kali ini suaranya naik lagi tinggi.

Satu.
Dua.
Tiga, dan seterusnya ramai lagi yang mengangkat tangan. Cikgu Zamri menggeleng kepala. Muka yang sokmo serius itu mengukir senyum.


"Macam mana awak semua nak masuk syurga kalau awak tak mati?" muka murid-muridnya dipandang silih berganti. Ada yang mengangguk dengan soalan dia. Ada yang buat muka tak faham. Ada yang tak ambil peduli pun.
"Kan? kalau awak semua takut mati, macam mana awak semua nak masuk syurga?"

Riuh kembali kelas dengan soalan cepumas dari cikgu Zamri. "Jadi, tak perlu takut dengan mati. Semua orang akan mati. Buatlah persediaan dari sekarang." Cikgu Zamri mengemas peralatan mengajarnya. Sesi pengajaran dan pembelajaran sudah tamat.

"Saya tanya lagi sekali, siapa yang takut mati?" soalan mengharap, mungkin. Berharap tiada lagi muridnya yang mengangkat tangan. Namun, jangkaannya meleset apabila ada seorang muridnya mengangkat tangan.


"Nak masuk syurga tak?" soalnya dengan pembaris panjang a.k.a 'roti john' dihalakan ke arah aku.

Angguk.

"Habis nak takut apa? Kalau nak masuk syurga, kena mati dulu. Bersedia je la." cikgu Zamri melangkah ke pintu.

Ketua kelas mula bangun, "Bangun semua, terima kasih cikgu!" tanpa menunggu murid-murid lain bangun, ketua kelas cepat bersuara. Bayang cikgu Zamri sudah hilang namun murid-murid masih berlagu mengucap 'terima kasih'.


Entah kenapa aku teringat memori zaman kanak-kanak. Seronok jadi budak-budak. Tak banyak yang kita kena fikir.

Dan bila dah besar macam ni aku tahu, memikul tanggungjawab sebagai seorang guru bukanlah mudah. Kerana seorang guru bukan hanya perlu mengajar tetapi mereka juga ditugaskan untuk mendidik anak bangsa.

Aku pernah pikul tanggungjwab tu. Ye, pernah. Aku ingat aku tak boleh jalankan tanggungjawab tu dengan baik jadi aku berhenti jadi seorang guru. Sekarang aku rindu murid-murid aku. Rindu nak mengajar dan mendidik mereka.

Semoga Allah berikan kekuatan pada guru-guru untuk terus mendidik anak bangsa.

click, click, click! ;)

No comments: