Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
"Assalamualaikum," sejurus memberi salam, Razif pantas menuju ke arah peti ais. Dicapainya kotak minuman fresh orange dan diteguk selamba. Telinganya dapat menangkap suara ibunya yang menyahut salam.
"Razif, minum duduk nak." Puan Fatimah bersuara lembut namun jelas dipendengaran Razif dan Rafidah, satu-satunya kakak Razif. Rafidah memandang Razif yang sudah tersengih umpama kerang busuk. Razif akhirnya menarik kerusi bersebelahan dengan kakaknya. Rafidah bangun dan mengambilkan cawan untuk Razif.
"Thank you kak." Razif sengih lagi. "Kenapa tak boleh minum berdiri ibu?" Razif memandang ibunya yang sedang berdiri di sinki menyiang ikan.
"Tak elok la. Kita kan orang melayu, kena la jaga adab." laju Rafidah menjawab seperti tangannya yang laju menyiang sayur kangkung.
"Adab tu kita letak nombor dua Ida, Ajib." Puan Fatimah bersuara tanpa memandang kedua anaknya. "Apa yang penting, kita ikut apa yang Rasulullah s.a.w. ajarkan pada kita."
"Apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. ibu?" Razif bertanya dungu.
"Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk makan dan minum dengan tertib. Dalam riwayat Muslim, daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. melarang seseorang itu minum sambil berdiri." Puan Fatimah telah selesai menyiang ikan. Kini, ikan-ikan itu dibilas dengan air bersih.
"Habis tu kalau makan takpe la, ye ibu?" Razif bertanya lagi penuh minat.
"Kalau makan lagi la teruk." Rafidah mengagak. Dia memandang Puan Fatimah dengan kerutan di dahi. "Kan bu?"
"Betul sayang. Sahabat Nabi s.a.w. bertanya seperti Ajib juga. Kemudian Baginda berkata, 'Demikian itu lebih jelik dan buruk.'" Puan Fatimah sudah beralih ke meja tempat anak-anaknya duduk. Dia tersenyum melihat mulut Razif berbentuk 'O' dan kepala anak bongsunya itu mengangguk-angguk tanda faham dengan apa yang diterangkan sebentar tadi.
"Tapi mesti ada sebab kan ibu, kenapa Allah melarang kita makan dan minum berdiri?" Kali ini giliran Rafidah pula menyoal. Puan Fatimah mengambil bekas sayur kangkung yang telah siap disiang oleh Rafidah. Kemudian dia kembali ke sinki.
"Setiap apa yang Allah larang pasti ada hikmahnya. Sebab tu kita wajib jauhi laranganNya. Dari segi kesihatan, sebenarnya, makanan dan minuman yang masuk apabila berdiri akan menghentam dengan keras dinding usus kita dan menyebabkan luka pada perut." Memandangkan Rafidah sudah merendam dan membasuh sayur itu sebelum disiang, Puan Fatimah hanya membilas sekali lalu sahaja. "Dari apa yang ibu pernah baca, kajian perubatan mendapati 95% luka pada perut berlaku pada tempat biasa berlakunya pelanggaran antara makanan dan dinding perut."
"Uuu seramnya Ida dengar. Kiranya macam gastrik la, ye ibu?" Rafidah sudah sibuk dengan kacang bendi di tangan. Ibu kata nak masak asam pedas tengah hari ni.
"Ermm lebih kurang la. Bezanya, gastrik berlaku disebabkan asid yang bertindak balas dalam perut kalau tak silap ibu. Wallahuaklam."
"Oh baru Ajib tau. Selama ni Ajib ingat tak boleh makan or minum berdiri sebab nak jaga adab je." Razif yang tadinya duduk goyang kaki sudah mengambil tempat ibunya di sinki. Ringan sahaja tangannya mahu membantu.
Puan Fatimah tersenyum membiarkan anak bujangnya membasuh pinggan kotor di dalam sinki. Sekejap lagi mereka akan makan tengah hari bersama. Sememangnya, itulah yang merapatkan lagi hubungan kekeluargaan mereka.
click, click, click! ;)